Rabu, Juli 22, 2009

KEPENTINGAN ULAMA DAN ILMU PENGETAHUAN

Semenjak kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang dari pelbagai pihak yang cuba untuk menidakkan keilmuan dan keagungan para ulama Islam. Ada di antara mereka ini berkata para ulama bukannya maksum seperti Rasulullah S.A.W. Jadi tidak perlulah untuk mengikut tunjuk ajar dari para ulama ini untuk memahami dan menjalani urusan agama Islam. Boleh sahaja untuk mengambil terus dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan kefahaman sendiri. Adakah tindakan dan pendapat seperti ini bertepatan dengan Islam itu sendiri?

Firman Allah Taala bermaksud:

Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir (ulama) seandainya kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Nahl: ayat 43).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.

(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Perkataan ulama merupakan kata jamak dari kata dasar alim iaitu seseorang yang sangat berilmu pengetahuan. Secara umunya ulama Islam adalah orang yang menguasai dan mengamalkan ilmu-ilmu Allah Taala secara mendalam serta ikhlas dan mereka memiliki akhlak yang amat terpuji. Mereka mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil dari al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. dengan sempurna. Sedangkan jika hendak dibandingkan kefahaman masyarakat awam untuk memahami dalil-dalil sudah tentulah mereka tidak berupaya sama sekali seperti keupayaan para ulama ini dalam memahami dalil-dalil. Kita juga tidak menafikan kadang-kala para ulama tetap tersalah di dalam ijtihad mereka tetapi amatlah sedikit kesalahan mereka itu. Para ulama yang sebenar tidak akan mengeluarkan sesuatu hukum agama mengikut hawa nafsu mereka semata-mata kerana mereka adalah golongan yang paling takut kepada kepada Allah Taala.

Firman Allah Taala bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama.

(Surah Faathir: Ayat 28).

Adalah sangat perlu dibezakan di antara mereka yang disebutkan sebagai ulama dan di antara mereka yang digolongkan sebagai penuntut-penuntut ilmu serta orang awam. Perbuatan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum-hakam agama berdasarkan dalil-dalil mengikut kefahaman akal fikiran sendiri oleh sebahagian masyarakat awam pada masa kini amatlah membimbangkan. Jika perkara seperti ini berterusan dari semasa ke semasa dan tidak dibendung dari sekarang ini maka sudah pastilah kesucian dan kemurnian syariat Islam itu akan tercemar. Memperkatakan sesuatu hukum tanpa ilmu pengetahuan yang cukup amatlah ditegah oleh Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak ketahui.

(Surah al-Aaraf: Ayat 33).

Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk menuntut ilmu dan bertanya sejak dari buaian hingga ke liang lahad. Bertanyakan hukum-hakam Islam dari para ulama bukanlah bermakna Islam melarang umatnya untuk terus berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Namun perihal agama mestilah diserahkan kepada ahlinya (para ulama) di atas kelayakkan yang mereka perolehi itu. Kita juga disarankan agar terus belajar dan menuntut ilmu supaya suatu hari nanti kita bakal menjadi alim dan dapat membantu masyarakat Islam dalam menyelesaikan sebarang persoalan yang timbul. Kesimpulan kecil yang boleh kita katakan di sini ialah: Masyarakat awam yang tidak mempunyai ilmu yang cukup tidaklah dibenarkan sama sekali untuk mengeluarkan sesuatu hukum-hakam Islam sebelum dirujuk terlebih dahulu kepada para ulama yang boleh dipercayaai keilmuanya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyayangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami.

(Riwayat Ahmad).

Para ulama berperanan untuk membimbing dan mendidik masyarakat serta menasihati pemerintah sekiranya mereka tidak menjalankan amanah dan tugas seperti yang dikehendaki oleh Islam. Jika para ulama diam membisu dari menyampaikan ajaran Islam yang sebenar maka sudah pastilah sesebuah negara dan masyarakat Islam itu akan menjadi rosak binasa dan jauh dari rahmat Allah Taala. Mereka juga berperanan menyampaikan ilmu pengetahuan dan menjadi contoh tauladan yang terbaik kepada manusia. Ilmu pengetahuan yang mereka perolehi itu mestilah disampaikan agar sekalian manusia terus terbimbing untuk melakukan kebaikkan dan sentiasa mentaati perintah Allah Taala.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Barangsiapa ditanya mengenai sesuatu ilmu lalu disembunyikannya maka Allah akan mengekangnya nanti dengan kekangan daripada api neraka pada Hari Kiamat kelak.

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi).

Masyarakat hendaklah sentiasa mendampingi para ulama untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu dari mereka. Sekiranya timbul sebarang persoalan dan masalah yang berkaitan dengan Islam maka hendaklah terus untuk bertemu dan bertanya para ulama. Pihak pemerintah pula hendaklah memberikan kebebasan kepada para ulama untuk menyampaikan nasihat dan teguran membina berkaitan ajaran agama Islam. Pemerintah juga perlu meminta pandangan dari para ulama sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah hukum-hakam yang tidak dapat diselesaikan. Insitusi ulama mestilah diletakkan di tempat yang sepatutnya bersesuaian dengan taraf mereka sebagai pewaris para nabi. Ulama juga mestilah bersedia untuk mendepani isu-isu globalisasi selaras dengan tuntutan semasa. Perkara ini amatlah perlu di ambil perhatian agar kehadiran dan kepentingan ulama tidak tertumpu kepada mengeluarkan hukum-hakam Islam semata-mata bahkan peranan ulama perlu diperluaskan lagi.

Bagi para pelajar dan mahasiswa/wi yang digolongkan sebagai penuntut ilmu maka janganlah sesekali membuang masa walaupun sedikit untuk terus menuntut ilmu pengetahuan sehingga ke akhir hayat. Ilmu pengetahuan berperanan untuk membantu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya kebenaran. Manfaatkanlah ruang dan masa yang ada untuk mendampingi para ilmuan samada di universiti-universi ti mahupun di sekolah-sekolah. Kedudukan orang berilmu adalah lebih tinggi darjatnya dari orang yang tidak berilmu. Menuntut ilmu juga adalah salah satu jihad yang dituntut oleh agama Islam.

Firman Allah Taala bermaksud:

Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.

(Surah al-Mujadilah: Ayat 11).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:

Barangsiapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad pada jalan Allah.

(Riwayat Tarmizi).

Daripada:

MUHAMMAD RASHIDI BIN HAJI WAHAB.

Universiti Al-Azhar, Mesir.

Email: shidi_buluh@ yahoo.com.

Blog: http://buluh. iluvislam. com.

Semoga bermanfaat & menambahkan kita sebagai muhibbin kepada Aulia Allah SWT..

Tidak ada komentar:

Posting Komentar